Ketika syarikat teknologi tinggi terkemuka dunia, Apple, memasarkan gajet edisi terbaru iPad 3, ia bagaikan ‘goreng pisang panas’ apabila begitu ramai penggemar teknologi skrin sentuh (touchscreen) berbaris untuk menjadi antara yang pertama memilikinya.
Begitupun, ramai yang pulang dengan perasaan hampa apabila gajet tersebut kehabisan stok dan mereka terpaksa menunggu stok baru untuk tiba di negara masing-masing.
Namun belum pun sampai sebulan ia dipasarkan, media antarabangsa, dailymail.co.uk melaporkan bahawa para pengguna iPad 3 sudah mula merungut mengenainya prestasinya yang dikatakan cepat ‘over heat’.
Menurut forum di laman web rasmi syarikat Apple sendiri, para pemilik iPad 3 mendakwa bahawa gajet tersebut cepat ‘panas’ berbanding edisi terdahulu dan agak kurang selesa untuk digunakan.
Produk terbaru Apple tersebut dikatakan mempunyai masalah cepat panas di bahagian bawah sebelah kirinya dan ada juga yang mendakwa ia melibatkan hampir seluruh bahagian kirinya.
Seorang pemilik iPad 3 yang hanya dikenali sebagai Faaty menyatakan bahawa dia suka pada skrin dan kelajuan gajet tersebut, namun berpendapat bahawa ada yang tidak kena pada gajet barunya itu.
“Ia agak panas selepas digunakan selama 30 minit. Ia tidak pernah berlaku pada iPad 2 saya. Adakah anda fikir ia tidak merbahaya atau ….?” katanya di forum tersebut.
“Kepanasan (iPad 3) milik saya pula bertumpu di bahagian bawah sebelah kiri, sebelah kiri lebih panas dari bahagian di sebelah kanan,” kata seorang lagi ahli forum yang menggunakan nama samaran Rawwave.
“(Ipad 3) kepunyaan saya pula mula panas selepas digunakan selama 10 minit dan selepas digunakan selama 25 minit ia agak panas untuk disentuh (tidak cukup panas untuk membakar, namun ia lebih panas dari yang sepatutnya),” kata znz212 pula.
Bagaimanapun, sebahagian dari ahli forum tersebut menjelaskan bahawa mereka iPad 3 mereka telah digantikan dengan yang baru apabila membawa iPad 3 mereka yang bermasalah ke kedai wakil rasmi Apple dan mendapati ia tidak bermasalah lagi.
iPad 3 telah dilancarkan pada awal bulan ini dan mendapat pujian ramai tentang spesifikasi terbarunya yang memiliki 3.1 juta pixel pada skrin 9.7 inci dan merupakan paparan paling jelas bagi semua kategori tablet terkini.
Apple di laman rasmi syarikat itu memaklumkan bahawa iPad perlu kekal di bawah 35 darjah selsius bagi suhu operasi yang paling optimum.
0 comments:
Post a Comment