Untuk mencatat nota, saya lebih gemar aplikasi ringkas seperti Notational Velocity dan ResophNotes berbanding Evernote yang tampak sedikit kompleks. Lebih penting lagi, Notational Velocity dan ResophNotes mempunyai fungsi carian yang pantas. Sambil anda menaip carian, hasil carian dipaparkan secara serta-merta.
Baru-baru ini saya kembali mencuba Evernote, dan alangkah berbunganya hati apabila melihat fungsi carian pantas ini telahpun dibina ke dalam Evernote. Kini apa yang saya perlu adalah belajar menggunakan Evernote secara minimalistik—menggunakan fungsi yang berguna sahaja dan meninggalkan yang lain. Di sini saya akan berkongsi kelebihan Evernote dalam memudahkan urusuan harian anda.
Catatkan apa yang anda pelajari
Apabila saya pelajari sesuatu yang baru, seperti cara-cara untuk membuat salinan ke atas pengkalan data MySQL, saya akan catatkannya ke dalam Evernote. Jika esok saya terlupa dan perlu merujuknya kembali, rujuk sahaja pada Evernote. Tidak perlu lagi menghabiskan 5 minit untuk membuat carian di Google.
Saban hari anda menggunakan Evernote, ia akan menjadi sebuah gedung bagi segala ilmu yang anda pelajari. Bukan sahaja ia dapat menjimatkan masa dalam membuat rujukan, malah ia hadir sebagai bukti bahawa anda sentiasa mempelajari sesuatu yang baru.
Fungsi carian yang pantas
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, fungsi carian Evernote telah dipertingkatkan. Sebaik sahaja anda mula menaip, hasil carian dipaparkan secara serta-merta. Evernote juga turut menyalakan kata carian tadi pada ruangan nota.
Buat banyak Notebook, tambahkan tag
Notational Velocity dan ResophNotes menawarkan satu kumpulan nota sahaja untuk dirujuk. Konsep ini bagus kerana anda hanya perlu mencari nota-nota anda dari satu tempat sahaja. Namun, ada kalanya anda ingin membuat satu kumpulan lain yang terasing dari nota-nota utama.
Dalam Evernote, saya membuat satu Notebook baru khas bagi segala kod-kod berkenaan JomSocial yang terasing daripada nota-nota utama. Katakanlah tugas saya ke atas JomSocial berakhir, nota-nota utama saya masih terjaga dan tidak bercampur dengan perkara-perkara lain.
Carian boleh dibuat terhadap satu Notebook sahaja atau kesemuanya sekali.
Anda juga boleh menetapkan tag ke atas nota. Biasanya saya meninggalkannya kosong kerana ianya lebih mudah untuk membuat carian daripada melihat senarai tag.
Mulakan mencatat!
Jangan biarkan apa yang anda pelajari hilang begitu sahaja. Catatkan ia, lengkapkan ia dari hari ke hari. Lebih baik lagi, kongsikan apa yang anda pelajari bersama orang lain, seperti memuatkan ia ke dalam blog anda. Jadilah seorang insan yang turut mencipta, bukan sekadar menerima :)
credit: smbangkomputer
0 comments:
Post a Comment